SEJARAH RINGKAS KEWUJUDAN KAMPUNG BIAU
Kampung Biau pada asalnya
adalah merupakan sebuah perkampungan
yang kecil di mana ianya hanya didiami oleh beberapa keluarga sahaja.
Perkampungan ini wujud
lebih kurang lima puluh lima tahun dan
pada masa itu rata-rata penduduknya bekerja sebagai nelayan
tradisional. Adalah dipercayai nama asal “Kg Biau” ini bersempena dengan terdapatnya takungan air atau
tasik-tasik yang kecil dan juga hutan paya bakau yang mana takungan air
dan tasik-tasik kecil ini dahulunya dipanggil sebagai ‘Biau’. Kg Biau juga merupakan satu kawasan yang amat sesuai untuk beriadah kerana
disinilah letaknya Pantai Kenangan yang menghadap Laut Cina Selatan yang
amat luas dan berlatarbelakangkan Pulau Tiga.
Pantai Kenangan ini juga telah
mencipta satu kenangan yang tidak mungkin luput dari ingatan terutamanya
generasi terdahulu dan juga seorang juruterbang berbangsa Inggeris yang berasal
dari Australia di mana beliau telah mendaratkan kapal terbangnya yang kehabisan
minyak. Kapal terbang tersebut telah terkubur di Pantai Kenangan ini dan tidak
dapat dikesan sehingga kini.
Kini Kg Biau sudah berubah
wajah, dahulunya sebuah perkampungan yang tidak mempunyai sebarang kemudahan
asas, mundur dan jauh ketinggalan terutamanya dari segi sosial, pendidikan dan
ekonomi.
Dari segi kemudahan asas Kg
Biau tidak juga ketinggalan dari kampung-kanmpung yang lain di kawasan N23 Bongawan malah merupakan salah satu kampung
yang termaju dan mempunyai kemudahan asas yang mencukupi.
Dahulunya, rata-rata penduduk
Kg Biau buta huruf. Kini, 90 peratus penduduknya telah boleh membaca, menulis
dan mengira. Tahap pendidikan juga kini amat membanggakan kerana persaingan
dalam mencapai pendidikan yang tinggi
begitu ketara di kalangan pelajar dan anak muda di kawasan ini. Pemegang ijazah
dan diploma juga semakin ramai.
Tahap pendidikan yang baik
telah menjana ekonomi yang baik juga di kawasan ini. Kadar kemiskinan yang
dialami pada masa dahulu di kawasan ini telah beransur-ansur terhapus.
Kebanyakan penduduknya kini telah beralih arah untuk mencari sumber pendapatan
di mana dahulu rata-rata bekerja sebagai
nelayan tradisional seolah-olah diwariskan kepada generasi berikutnya,
tetapi kini penduduk di kawasan ini telah pun ada yang memegang jawatan
tertinggi di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta swasta.
Perkembangan ekonomi ini juga
dapat dilihat dari segi pendapatan berkapita bagi seorang penduduk iaitu
kira-kira RM2,400.00 setahun. Kadar pemilikan kenderaan bermotor seperti
motosikal dan kereta adalah sebuah bagi setiap rumah. Dari segi sosial penduduk
di kawasan ini amat peka terhadap perhubungan kejiranan. Ini terbukti apabila
ada majlis keramaian kenduri kendara dan
juga majlis duka seperti kematian dan sebagainya. Setiap penduduknya akan ingin
tahu dan seterusnya berziarah.

No comments:
Post a Comment